Thursday, September 3, 2009

Tawakkal & Takdir....

Maha suci ALLAH hanya kepada-NYA kita kembali dan memohon perlindungan daripada takdir yang buruk serta pengakhiran yang tidak baik.

Sesungguhnya kita hendaklah berasa bimbang dan takut bahawa kita tidak termasuk di kalangan mereka yang terpilih untuk mendapat hidayah dan kebaikan. Berusahalah meminta dan memohon kepada ALLAH S.W.T tanpa henti dan tangguh supaya dimasukkan ke dalam golongan yang mendapat hidayah dan takdir yang baik.

Berikut ialah perkara yang perlu dilakukan berhubung dengan masalah takdir ini:

1) Memperbanyakkan doa dan amalan soleh serta meninggalkan maksiat juga melaksanakan apa yang diperintahkan.

Maksudnya:
“Berkatalah TUHANmu, berdoalah (mintalah) kepada AKU, nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” - Surah Ghafir: 60.

Menurut Tsauban r.a sabda Rasulullah s.a.w:
"Tiada suatu pun yang dapat menolak takdir selain doa.” - Hadis sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya. Disepakati kesahihannya oleh al-Zahabi.

Hendaklah juga memperbanyakkan amalan soleh seperti sedekah. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Anas bin Malik r.a. Beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya sedekah itu dapat menyekat kemurkaan al-Rabb (ALLAH)." - Hadis Hasan riwayat Tirmizi no. 664.

2) Bersabar, bersangka baik terhadap ALLAH, mengharap rahmat-NYA dan tidak berputus asa dalam menghadapi segala derita yang menimpa. Diiringi perasaan takut dan harap pada rahmat dan kasih sayang-NYA.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon (berbaik sangka) terhadap ALLAH.” - Hadis sahih riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi.

Hal ini disebut dalam hadis riwayat Syuhaib r.a yang menyebut bahawa baginda bersabda:
“Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya adalah kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka jadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah, maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya.” - Hadis sahih riwayat Muslim no. 2999.

Maksudnya:
“Bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada TUHAN mereka.”- Surah al-Kahfi: 28.

Maksudnya:
“Mintalah kamu pertolongan ALLAH dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya hal itu sangat berat melainkan bagi mereka yang khusyuk.” – Surah al-Baqarah: 45.

3) Bertawakal kepada ALLAH selepas berusaha melakukan sesuatu amalan dengan sebaik-baiknya menurut pertunjuk ALLAH dan rasul serta menyerah kepada takdir ALLAH S.W.T dengan penuh keredhaan dan lapang dada berserta yakin.

Imam Tirmizi r.a meriwayatkan dalam sunannya sebuah hadis daripada Abdullah bin 'Abbas r.a yang berkata: "Sesungguhnya aku berada di belakang Nabi s.a.w pada suatu hari dan baginda bersabda:Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajar kamu beberapa kalimah (pesanan), iaitu peliharalah ALLAH (pelihara hak-NYA), nescaya ALLAH akan memelihara kamu. Peliharalah ALLAH (taati perintah-NYA dan jauhi larangan-NYA), nescaya engkau akan mendapati DIA akan membantumu. Jika kamu hendak meminta sesuatu, mintalah kepada ALLAH dan jika kamu hendak memohon perlindungan daripada sesuatu, pohonlah perlindungan daripada ALLAH. Ketahuilah jika seluruh umat berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu dengan sesuatu, maka mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah ALLAH tetapkan kepadamu. Jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkanmu dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah ALLAH tetapkan buat engkau. Telah terangkat kalam-kalam dan telah kering dakwat (satu perumpamaan yakni telah selesai urusan penyampaian pesanan).” - Hadis sahih riwayat Tirmizi no. 2516.

Bahkan dalam hadis lain melalui riwayat Anas bin Malik turut disebut bahawa baginda sentiasa membaca doa:

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلىَ الله

Maksudnya:
“Dengan nama ALLAH aku bertawakal hanya kepada ALLAH. ”- Hadis Sahih, riwayat Tirmizi no. 2724.

Firman ALLAH S.W.T:

Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH amat mencintai orang-orang yang bertawakal kepada-NYA.” - Surah Ali Imran: 159.

Maksudnya:
“Sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH akan menyediakan baginya jalan keluar (daripada kesusahan) dan memberikannya rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka olehnya.” - Surah Thalaq : 2 - 3.

Renungkan lah............Diriku dan dirimu wahai isteriku..............

No comments:

Post a Comment